KEMAMAN – Sebuah syarikat yang menguruskan perhotelan, OSC Hotelling (M) Sdn. Bhd. (OSC Hotelling) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman di sini hari ini atas pertuduhan memproses data peribadi pengguna tanpa pendaftaran pada tahun lalu.
Pengurus OSC Hotelling, Zulaikha Mohd Arifin, 33, membuat pengakuan tidak bersalah setelah pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu sebagai pengguna data di bawah Perintah Perlindungan Data Peribadi (Golongan Pengguna Data) 2013 didakwa telah memproses data peribadi awam tanpa perakuan pendaftaran dikeluarkan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.
Perbuatan bersalahan dengan Seksyen 16(1)(a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 itu didakwa dilakukan di Kerteh Damansara Inn, Kerteh di sini pada pukul 11 pagi, 30 Mei 2023.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 16(4) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehinga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faris Ab Jalil bersama Nor Izariah Zainal, manakala OSC Hotelling pula tidak diwakili peguam.
Wan Suhaila membenarkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE