fbpx

Belanjawan 2025 untuk MOSTI perkukuh inovasi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lih Kang hadir merasmikan Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 di Arena SPICE, hari ini.

GEORGE TOWN – Peningkatan peruntukan yang diterima Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam Belanjawan 2025 dilihat dapat memperkukuh sektor inovasi negara.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peruntukan R&D yang ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta sebelum ini juga adalah bukti bahawa kerajaan mengambil perhatian serius dalam pelaburan berkaitan bidang tersebut.

”Kita boleh lihat pada dasarnya, banyak kementerian yang dipotong bajetnya, tetapi kami (MOSTI) dapat mempertahankan bajet bernilai RM1.2 bilion.

“Selain itu, kita juga dapat melihat peningkatan dalam peruntukan bagi R&D dari RM510 juta kepada RM600 juta tahun depan dan ia adalah sesuatu yang positif,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 (ISBP 2024), di sini hari ini.

Simposium tersebut dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (BEC).

Simposium empat hari itu menghimpunkan saintis-saintis terkenal dunia, penyelidik, dan pakar industri dari 33 negara.

Pembentangan dan perbincangan dalam simposium itu akan menumpukan kepada perkembangan terkini dalam plastik berasaskan bio dan boleh terurai, pengeluaran industri dan aplikasi, serta isu-isu dasar.

Menurut Lih Kang, walaupun peruntukan tersebut akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) namun ia membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dalam pelaburan dalam R&D.

Tambahnya, jika dilihat dalam keadaan ekonomi pada masa ini pelaburan dalam bidang R&D amat penting untuk perkembangan teknologi dan sains di negara ini.

Sementara itu, Lih Kang berkata, penganjuran Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 itu dilihat dapat memajukan penyelidikan biopolimer.

“Kita berdepan masalah dalam mengkomersialkan projek R&D yang berkualiti kerana kurangnya kerjasama antara pemain industri, universiti dan sektor kerajaan.

“Simposium ini mampu menjadi jambatan penghubung, yang mana pihak universiti seperti USM dapat bekerjasama dengan pemain industri dan agensi kerajaan untuk menghubungkan semua pihak yang terlibat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI