fbpx

Remaja 16 tahun juara eFootball24 Mobile MEL24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISH LUZMAN (tengah) muncul juara bagi judul permainan eFootball24 Mobile anjuran MEL24. - ESI

KUALA LUMPUR – Walaupun baru berusia 16 tahun, bintang e-sukan negara, Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar terus membuktikan kehebatan apabila muncul juara kejohanan eFootball24 Mobile di Liga e-Sukan Malaysia 2024 (MEL24).

Pemain muda kelahiran Johor itu mencatat sejarah tersendiri apabila menewaskan lawan-lawan berpengalaman untuk menjuarai salah satu judul permainan paling kompetitif dalam arena e-Sukan tanah air. 

Faris yang kini dianggap antara bakat terbaik Malaysia menyatakan impiannya untuk terus mengembangkan karier e-Sukan ke peringkat antarabangsa dengan sasaran sebagai juara dunia suatu hari nanti.

“Menjadi juara di peringkat kebangsaan adalah pencapaian besar buat saya tetapi matlamat saya adalah untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Saya harap kemenangan ini akan menjadi batu loncatan untuk lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Sebagai rekod, MEL24 menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM264,700 dan berjaya menarik penyertaan seramai 9,205 pemain dari seluruh negara sekali gus menggambarkan perkembangan menarik industri e-Sukan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

NURUL AZWA (tengah) bersama barisan pemain eFootball24 Mobile anjuran MEL24 baru-baru ini. – ESI

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI), Nurul Azwa Mohd. Rodzi, MEL24 bukan sahaja mencungkil bakat baharu tetapi juga menyediakan peluang besar untuk atlet e-Sukan tempatan mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat antarabangsa.

“Kejayaan pasukan seperti Selangor Red Giants dan Monster Vicious yang muncul juara di kejohanan antarabangsa membuktikan pentingnya platform MEL24 dalam membina asas kukuh untuk pemain tempatan. 

“Kami berharap lebih ramai atlet e-Sukan Malaysia dapat menempa nama di peringkat dunia melalui kejohanan seperti ini,” ujarnya.

Liga Utama MEL24 mempertandingkan empat judul permainan iaitu PUBG Mobile, Mobile Legends, Free Fire, dan eFootball24 Mobile, manakala Valorant serta Tekken 8 bagi saingan Liga Terbuka MEL24.

Keistimewaan MEL24 menyaksikan pasukan yang meraih tiga teratas dalam PUBG Mobile akan layak ke Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile (PMNC). 

Juara bagi judul permainan Free Fire juga akan menempah tempat ke Pusingan Kelayakan Akhir Free Fire World Series Malaysia (FFWS MY) 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI