AMPANG JAYA – Polis memberkas dua wanita tempatan selepas disyaki mencederakan pembantu rumah dalam kejadian di Taman Putra Sulaiman di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mangsa warga Indonesia berusia 25 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu pada 13 Oktober lalu selepas berjaya melarikan diri dari kediaman majikannya.
Mangsa mendakwa dia dicederakan majikannya dengan menggunakan tukul, pengepit besi dan seterika panas selepas dua bulan bekerja di kediaman tersebut.
“Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua belah tangan dan kaki.
“Wanita asing itu berjaya keluar dari rumah majikannya sebelum meminta pertolongan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azam, motif kejadian adalah kerana majikan menuduh pembantu rumah itu malas dan tidak berpuas hati apabila mangsa kerap lupa membuat kerja rumah seperti diarahkan.
Rentetan itu, Azam memaklumkan, pihaknya menahan dua wanita berusia 40 dan 61 tahun di kediaman tersebut pada Isnin lalu.
“Tangkapan pada pukul 11.30 pagi itu dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya.
“Kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan selesai,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.-KOSMO! ONLINE.