fbpx

Bekalan beras dijamin cukup sehingga 5 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini. -Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa stok bekalan dan penyimpanan beras negara masih mencukupi untuk tempoh lebih lima bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk rancangan jangka pendek dan panjang untuk memastikan bekalan beras mencukupi.

Menurutnya, jumlah bekalan beras termasuk stok simpanan (stockpile) sehingga Oktober adalah sebanyak 1.1 juta tan metrik yang dijangka mencukupi untuk lima hingga enam bulan.

“Bagi bekalan beras, negara sumber yang dikenal pasti ialah Thailand, Vietnam, India, Pakistan dan Myanmar.

“Setakat ini, jika berlaku kecemasan, kita jamin Insya-Allah makanan ada kerana hubungan kita dengan negara pembekal sentiasa baik, dan mereka sentiasa memenuhi kehendak kita apabila diperlukan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berhubung jaminan bekalan beras negara.

Mengulas soalan tambahan Fathul Huzir berhubung tanaman alternatif atau ganti, Mohamad berkata, pihaknya akan menumpukan usaha kepada pengeluaran beras berikutan ia merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

Jelasnya, Serawak kini menawarkan untuk menjadi jelapang padi kedua dengan peruntukan RM500 juta daripada kerajaan negeri.

Kata Mohamad, Ini kerana pergantungan pengeluaran beras di m Semenanjung dalam jangka panjang tidak dapat mencukupi.

“Walaupun rakyat sudah makan roti canai dua biji atau mi goreng sepinggan, mereka tetap mahukan nasi. Sebab itulah kita perlu memberi tumpuan kepada usaha ini.

“Pekerja asing yang berjumlah antara dua hingga tiga juta orang, juga bergantung kepada nasi sebagai makanan utama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI