fbpx

‘Caster Xperience’ buru bakat baharu komentator e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURIZATI (dua dari kiri) hadir berkongsi pengalamannya sebagai komentator e-Sukan pada program Caster Xperience semalam. - FB REEZPIUPIU

PETALING JAYA – Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) menjadi tuan rumah bagi program ‘Caster Xperience’ yang diadakan untuk mencari pelapis komentator e-Sukan atau shout caster melibatkan golongan muda di peringkat universiti kelmarin.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Johor Darul Takzim (JDTEA), Mohd. Shahrilnizam Omar berkata, acara tersebut merupakan kolaborasi proaktif dilakukan susulan jumlah shout caster di negara ini dikesan masih belum mencukupi.

Ujarnya, setakat ini Malaysia mempunyai ramai shout caster untuk judul-judul permainan e-sukan popular seperti MLBB, PUBG dan eFootball, namun kekurangan bagi permainan Free Fire, Valorant serta Takken.

“Program Caster Xperience ini dianjurkan oleh Grafikart Studio dengan kerjasama JDTEA dan KUIJSI sebagai platform pendedahan kepada dunia shout caster dan mencari bakat-bakat baharu diperlukan untuk menghidupkan serta memenuhi keperluan acara e-Sukan negara.

“Pada acara tersebut seramai 30 orang pelajar termasuk shout caster terkenal, Siti Nurizati Jefree atau lebih dikenali sebagai ‘ReezPiuPiu‘ terlibat berkongsi pengalaman dan memberikan tunjuk ajar kepada peserta yang berminat dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Tambahnya, antara kriteria utama diburu pada setiap calon shout caster adalah pengetahuan luas mengenai judul permainan, mengenali karekter serta taktik permainan selain sikap ingin belajar perkara baharu dikongsikan oleh penerbit e-Sukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jurang kekurangan shout caster menjadi ketara apabila berlaku pertindihan acara-acara kejohanan e-Sukan yang semakin banyak dianjurkan ketika ini.

“Selalunya wajah-wajah yang sama akan menjadi shout caster pada setiap kejohanan, mungkin ramai tidak tahu terdapat peluang kerjaya sangat luas dalam bidang ini.

“Buat masa sekarang seorang shout caster boleh mengulas beberapa jenis judul permainan tetapi ada ketikanya kejohanan itu bertindih sekali gus menyebabkan kita kekurangan shout caster,” ujarnya.

Penganjuran Caster Xperience juga membawa agenda dalam menjadikan Johor sebagai hab bakat bagi shout caster yang dapat memenuhi kehendak industri di peringkat kebangsaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI