KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) Thunder membuktikan status selaku gergasi sepak takraw Malaysia apabila menjulang trofi Liga Sepak Takraw (STL) buat kali keempat selepas menewaskan Perak Bison 15-12, 15-10 pada final di Spice Arena, Pulau Pinang semalam.
Kemenangan di Grand Prix (GP) Pulau Pinang itu memastikan KL Thunder selangkah untuk muncul juara keseluruhan apabila mengumpul 128 mata dalam carta Grand Prix selepas turut menjuarai GP Selangor, GP Terengganu dan GP Perak musim ini.
Biarpun mendominasi STL tahun ini, KL Thunder bertekad menutup kejohanan tersebut dengan bergaya apabila meletakkan impian untuk menjulang trofi kemenangan pada GP terakhir di Johor berlangsung 29 Oktober dan 2 November nanti di Stadium Arena Larkin.
Pengurus KL Thunder, Mohd. Zambri Abd. Rahman berkata, pasukannya tetap memberikan yang terbaik dan tidak sama sekali memandang mudah keupayaan lawan apabila dijadual menentang Perak Bison dan Terengganu Turtles.
“Kejayaan pasukan hari ini (semalam) adalah hasil kerja berpasukan dan mereka bermain dengan keyakinan cukup tinggi untuk mencipta kemenangan. Hasilnya mereka telah buktikan kemenangan pada GP Pulau Pinang.
“Biarpun kita telah menang empat trofi tetapi perjalanan pasukan belum berakhir kerana ada satu lagi misi di Johor nanti. Saya harap pemain sekali lagi dapat memberikan yang terbaik dan tidak memandang mudah keupayaan lawan,” katanya.
Menjelang aksi terakhir di Johor nanti, Zambri menyerahkan segalanya kepada barisan kejurulatihan untuk mencongak strategi terbaik terutama gabungan pemain baharu dan senior untuk diturunkan.
“Keputusan sama ada merehatkan beberapa tonggak utama pasukan akan diputuskan jurulatih. Saya meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain kerana mereka adalah yang terbaik ketika ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, KL Thunder sudah mengesahkan tempat ke Piala Juara-Juara musim ini kerana empat pasukan terbaik STL 2024 akan beraksi dalam saingan tersebut. – KOSMO! ONLINE