KUALA LUMPUR – Situasi keselamatan di dalam kawasan perairan negara adalah selamat dan terkawal berdasarkan penilaian ancaman terhadap situasi di Laut China Selatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bagaimanapun kawasan perairan di Laut China Selatan kekal bebas dan terbuka kepada komuniti maritim.
Menurutnya Adly, kehadiran aset-aset maritim China di Laut China Selatan adalah lebih kepada Pasukan Pengawal Pantai China (China Coast Guard) dan bukannya kapal perang (tentera laut) China.
“Perkara ini adalah selaras dengan pendekatan ‘gray zone strategy’ yang sering dilaksanakan oleh China di Laut China Selatan.
“Walaupun kehadiran kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini, mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti yang berlaku dengan negara Filipina dan Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sejauh manakah keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan terjamin susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak.
Justeru, Adly berkata, Kementerian Pertahanan tetap komited untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiagaan aset berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan terutama di Laut China Selatan. – KOSMO! ONLINE