BATU PAHAT – Malang berganda menimpa seorang nelayan apabila duit hasil jualan menangkap udang yang diusahakannya rentung bersama rumah didiami bersama isteri dan anaknya petang semalam.
Surani Atan, 68, yang tinggal di Kampung Sungai Ayam sejak dilahirkan berkata, kejadian yang berlaku tidak sampai 30 minit itu benar-benar memberi kesan kepada keluarganya serta empat keluarga lain apabila semua rumah kediaman musnah dijilat api.
Katanya, selain wang tunai, turut terbakar adalah 35 buah bubu udang berharga kira-kira RM6,000 yang belum sempat digunakan dan baru dibeli sebulan lalu.
“Sebelum kejadian, pada pukul 2 petang saya bercadang untuk ke laut menjaring udang namun dibatalkan kerana merasa tidak sedap hati.
“Ketika berbincang dengan seorang nelayan bangsa Cina di jeti tidak jauh dari rumah, saya dikejutkan dengan jeritan penduduk kampung yang mengatakan rumah kediaman kami terbakar,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Surani lagi, ketika kejadian dua anaknya yang berusia 35 dan 40 tahun tiada di rumah dan hanya isterinya berumur 65 tahun seorang tinggal di rumah.
Ujarnya, sebaik sampai di rumah tiada apa-apa dapat diselamatkan termasuk dokumen pengenalan diri, dokumen perkahwinan termasuk duit yang disimpan dalam almari pakaian.
“Kini apa yang memeningkan adalah kos untuk membina semula rumah kerana semua duit simpanan sudah habis terbakar,” katanya.
Sementara itu, Nor Adilah Sahak, 33, yang tinggal bersebelahan dengan bapa mertuanya, Surani Atan berkata, seorang anaknya yang bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRK) Cina, Chong Hwa Sungai Ayam terpaksa bersekolah dengan pakaian biasa disedekahkan orang ramai.
“Mujur ada orang bagi tahu ada kebakaran di depan rumah, ketika itu saya sedang mengopek kerang di dapur sebelum berlari mendapatkan anak dan membawanya menyelamatkan diri,” katanya.-KOSMO! ONLINE