fbpx

Lelaki dicekup, tak sempat edar 2,200 biji pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pil kuda yang dirampas di dalam beg silang milik suspek di Kampung Mentera Banggu, Bukit Marak dekat Kota Bharu kelmarin. - Foto PGA

KOTA BHARU – Hasrat seorang lelaki untuk memperoleh upah dengan mengedar sebanyak 2,200 pil kuda tidak kesampaian selepas dia dicekup anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa menunggang motosikal di Kampung Mentera Banggu, Bukit Marak di sini kelmarin.

Suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semasa anggota PGA menjalankan tugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di dalam beg silang milik suspek menjumpai sebanyak 2,200 biji pil kuda yang bernilai RM33,000.

Menurrunya, selain itu, sebuah telefon bimbit, motosikal jenis Modenas Kriss, seluar jean dan wang tunai berjumlah RM1,174 turut dirampas.

“Suspek dipercayai berperanan sebagai pengedar kesemua dadah tersebut.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine. Suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa di negeri ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI