fbpx

Laundry Care amal konsep kelestarian, teroka bisnes sewa linen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ken Yuen (kanan) bersama Melanie Chai memiliki idea perancangan jangka panjang menjadi pemain utama dalam industri dobi.

PETALING JAYA – Laundry Care Sdn. Bhd. (Laundry Care) adalah antara nama syarikat tempatan yang menguasai industri dobi yang berpotensi luas dengan menawarkan perkhidmatan berkualiti melalui inisiatifnya yang berbeza daripada pemain lain di negara ini.

Pengarah Urusannya, Ken Yuen berkata, syarikat mementingkan konsep kelestarian untuk diamalkan dalam produk, perkhidmatan dan operasinya malah kesungguhan syarikat membuat pelaburan yang besar bagi memastikan ia memiliki teknologi, kelengkapan canggih serta berautomasi me­nunjukkan komitmennya untuk terus berada di hadapan dalam industri berkenaan.

“Bersandarkan kepada amalan kelestarian, syarikat menggunakan sabun berasaskan biodegradable, mesin jimat air dan juga memanfaatkan teknologi bersepadu lebih maju di dalam semua operasinya untuk me­ningkatkan kecekapan bisnes.

Untuk membolehkan ia memiliki peralatan dan keperluan dalam teknologi canggih, syarikat telah membuat satu pelaburan yang bertujuan untuk memperkemaskan pengoperasian se­kali gus mengu­kuhkan keyakinan pelanggan terhadap syarikat.

“Mesin dobi kami telah dibangunkan khususnya untuk menghasilkan prestasi dan kecekapan yang maksimum selain ia dapat mengurangkan masa memproses serta meningkatkat kualiti kerja.

“Sistem perisian bersepadu sedia ada ini juga telah memboleh­kan pengurusan kami lebih teratur, memiliki sistem pengesanan inventori yang cekap dan pengurusan hubungan pe­langgan yang berjaya mengu­kuhkan keyakinan pelanggan untuk terus setia bersama kami,” jelas beliau.

Syarikat kini memiliki sebuah kilang dobi yang memiliki kapasiti sehingga 60 tan sehari.
Menurutnya, ini adalah bukti komitmen syarikat terhadap usaha untuk meningkatkan pengoperasian ki­lang yang lebih cekap dan disokong oleh tenaga kerja yang berdedikasi.

Selain itu, melihat kepada perkembangan pantas dalam in­dustri tersebut, syarikat mula mencari idea untuk mengembangkan operasi peniagaannya dengan menceburi bidang baharu tetapi berkait rapat dalam industri yang sama.

“Kami masih tidak berpuas hati terhadap apa yang kami capai sehingga kini dan menyedari bahawa pasaran ini bergerak begitu pantas seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat, kami kini menyusun strategi untuk meluaskan perniagaan.

“Selepas enam bulan bero­perasi dengan jayanya, kami begitu teruja untuk mengumumkan bahawa kami telah melangkah ke dalam satu lagi bidang baharu iaitu perkhidmatan sewaan linen.

“Ini adalah penerokaan terbaharu kami untuk meme­nuhi ruang dan peluang yang tersedia wujud untuk kami kuasai, malah ia berpotensi besar.

“Kami jangkakan, ini adalah peluang terbaik buat kami untuk menambah portfolio pelaburan.

“Penceburan dalam perkhidmatan dobi terbaha­ru dan juga sewaan linen telah di­bangunkan untuk memenuhi cabaran mendatang dalam bisnes ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai aspek kelestarian yang dilaksanakan oleh Laundry Care selama ini, Pengurus Pembangunan Per­niagaannya, Melanie Chai me­­nerangkan, syarikat memiliki misi untuk menjadi sebuah empayar bisnes yang memiliki operasi kelestarian yang menyeluruh di negara ini sekali gus mahu menjadi sebuah syarikat penyedia perkhidmatan sewa linen utama di pasaran Semenanjung Malaysia .

“Kami mahu melakukan revolusi dalam industri hospitaliti ini melalui konsep sewaan linen,” jelasnya.

“Sememangnya terdapat o­pe­rator dobi di Malaysia tetapi wujudnya kekurangan daripada segi bakat kemahiran dan juga pengen­dalian secara automatik.

“Namun, kami dapat mengisi kelonggaran ruang tersebut.

“Kami menyediakan per­khid­matan profesional, dobi li­nen hotel dengan standard antarabangsa serta sewaan linen hotel melalui RFID (radio-frekuensi indentification).

“Teknologi canggih ini telah membantu kami melaksanakan penghantaran segera,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya mem­fokuskan kepada konsep kerja yang konsisten, berkualiti dan mesra alam sekitar serta ia dapat dilaksanakan melalui me­sin yang berinovatif selain berautomasi.

“Sepanjang proses tersebut, pekerja kami hanya terbabit dalam tiga perkara sahaja iaitu pengasingan, pemeriksaan kualiti dan juga pembungkusan.

Mengulas lanjut, usahawan ini menerangkan, syarikat telah me­labur sebanyak RM70 juta bukan sahaja untuk meningkatkan daya saing dan kapasiti semasa tetapi juga me­ngukuhkan imej syarikat pada masa depan.

“Pelaburan ini adalah tanda komitmen kami yang tidak ber­belah bahagi untuk mencapai kejayaan. Melalui teknologi canggih dan juga penyelesaian inovatif, kami menyasarkan untuk membawa penanda aras baharu dalam industri dobi dan juga sewaan linen,” tambahnya.

Chai menerangkan, bahagian penting daripada pelaburan itu akan membolehkan syarikat memperkemaskan operasi dan meningkatkan lagi kecekapan pengurusan inventori.
Jelasnya, sebanyak RM10 juta akan dilaburkan untuk logistik terkini dan juga sistem RFID

“Teknologi itu akan merevolusikan cara kami menguruskan dan menjejak inventori sedia ada dan antara kebaikan sistam RFID ini adalah ia menggunakan jejak pemantauan pada masa sebenar, lebih cekap dan juga akauntablititi,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, syarikat juga memperuntukkan RM8 juta untuk beberapa perkara utama berkaitan per­khidmatan sewaan linen dan juga perkhidmatan membasuh.

Manakala baki pelaburan ber­kenaan dikhususnya kepada usaha untuk mengukuhkan infrastruktur sedia ada termasuk kemudahan, mengembangkan armada dan juga menambah baik platform digital agar ia memberi ruang dan peluang kepada syarikat berinteraksi dengan pelanggan dengan lebih baik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI