fbpx

[VIDEO] Kes salah guna wang infak RM63,605 Alif Teega dipindah ke Mahkamah Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alif ditemani isterinya Aisyah ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kes pempengaruh popular Alif Teega yang didakwa atas dua pertuduhan menyalah guna wang berjumlah RM63,605 di Mahkamah Sesyen di sini berhubung tujuan infaq akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azura Alwi mengarahkan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes itu dibicarakan bersama kes yang mana Alif dengan isterinya didakwa atas 10 pertuduhan lain.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin berkata, pihaknya memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama 10 pertuduhan lain yang dihadapi tertuduh mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hari ini ditetapkan serahan dokumen, namun begitu pihak pendakwaan memohon untuk kes ini (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama,” kata Julaila.

Mendengar perkara itu, Mohd. Shahrullah Khan tidak membantah sekiranya kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dihadapi Aliff dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Sekiranya diizinkan, saya pohon satu tarikh awal ditetapkan di Mahkamah Shah Alam (untuk kes ini). Ini kerana pihak pembelaan ada membuat permohonan untuk pemulangan pasport sementara,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Azura kemudian membenarkan kes di Mahkamah Sesyen di sini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan menetapkan Rabu ini bagi sebutan kes di mahkamah itu.

“Kes kamu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan jaminan dilanjutkan,” kata Hakim Azura.

Pada 20 September lalu, Alif Teega atau nama sebenarnya Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa telah secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar Di Mekah, Syria, Palestin.

Sementara pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di di CIMB Bank, KL Gateway, Jalan Kerinci, di sini masing-masing pada 26 April dan 15 Jun lalu.

Justeru bagi kedua-dua pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kemudian pada pada 23 September lalu, Alif dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan niat bersama menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI