JAKARTA – Sama cantik sama padan, pelakon popular Indonesia, Pevita Pearce sah bergelar isteri kepada usahawan Malaysia, Mirzan Meer, semalam.
Dalam majlis pernikahan yang dihadiri keluarga dan teman terdekat, kedua-dua mempelai anggun menggayakan busana berwarna putih mengikut konsep dan adat Melayu.
“Hari ini, dengan cinta yang damai, juga dengan kehadiran orang yang disayang kami akhirnya disatukan,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen dalam Instagram.
Difahamkan, pelakon yang sinonim dengan watak Hayati dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck itu menerima mas kahwin sebanyak 10 dinar secara tunai.
Bukan biasa-biasa, jejaka yang berjaya menawan hati pemilik nama sebenar Pevita Cleo Eileen Pearce, 32, merupakan ahli perniagaan yang juga anak kepada Pengerusi Eksekutif Habib Group.
Tiada angin tiada ribut, perkongsian aktres jelita itu tentang berita gembira dalam Instagram mengejutkan ramai peminat yang seterusnya dihujani ucapan tahniah dan turut bergembira dengan khabar tersebut.
“Wah cantiknya, tahu-tahu Hayati sudah dimiliki, tetap juga bukan Zainuddin. Apapun semoga berbahagia sehingga ke anak cucu,” seloroh seorang netizen.
“Iya demikianlah perempuan! Semoga berbahagia Hayati bersama pilihan hatimu,” demikian komen seorang lagi netizen.
“Mendoakan segala keberkatan dan limpahan bahagia untuk keluarga baharu kamu Pev. Sihat, sukses dan terus berkarya,” tulis seorang pengguna media sosial.
Majlis gilang gemilang itu juga turut dimeriahkan persembahan rakan selebriti iaitu Afgan yang melantunkan beberapa buah lagu.
Selain Afgan, resepsi tersebut dihadiri ramai tetamu kehormat dan orang kenamaan seperti bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. – KOSMO! ONLINE.