PETALING JAYA – Sehingga pukul 8 pagi tadi, dua laluan di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) di kedua-dua hala masih ditutup kerana dilimpahi air.
Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melalui satu kenyataan berkata, laluan tersebut adalah Persimpangan Chenor hingga Persimpangan Karak hala Kuantan.
“Manakala bagi hala Kuala Lumpur adalah di Persimpangan Chenor hingga Persimpangan Lanchang.
“Terdapat tiga lokasi yang masih dinaiki air iaitu, KM 113 (Lanchang – Temerloh), Km 115 (Lanchang – Temerloh) dan Km 126.3 (Temerloh – Chenor),” jelas kenyataan tersebut sebentar tadi.
Tambahnya, di KM84, air telah surut namun laluan menghala Kuantan antara Persimpangan Karak – Persimpangan Lanchang masih ditutup disebabkan ketiadaan laluan alternatif untuk pengguna ke Kuantan dari Lanchang. – K! ONLINE