KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong menunjukkan kebangkitan dramatik ketika meraih kejuaraan pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 sebentar tadi.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, beregu No.52 dunia itu mengetepikan cabaran wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith menerusi aksi tiga set 19-21, 21-15, 21-12.
Eng Cheong berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat untuk mereka menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang, lebih-lebih lagi ia merupakan kejuaraan sulung mereka musim ini.
“Kami hanya bermain seperti biasa kerana tidak mahu bagi tekanan kepada diri sendiri. Tahun lepas kami hanya menjadi naib juara, jadi pingat emas ini memberikan kami lebih keyakinan untuk kejohanan akan datang.
“Prestasi kami sebelum ini tidak begitu baik dan Malaysia Super 100 menjadi gelaran sulung untuk kami tahun ini. Sekarang kami hanya mahu berikan fokus pada kejohanan terdekat sahaja,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah.
Menerusi kemenangan itu, Hang Yee-Eng Cheong membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,900 (RM34,005) berserta pingat manakala Zhi Yi-Smith berpuas hati dengan AS$3,800 (RM16,357) dan pingat.
Sebagai rekod, mereka berjaya menebus kekecewaan selepas sekadar naib juara pada edisi tahun lalu selepas tewas 21-23, 17-21 kepada Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa dari Taiwan. – KOSMO! ONLINE