KLANG – Akta baharu tahanan rumah disasarkan hanya termaktub kepada kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu dan berkelayakan selepas menjalani proses tapisan penuh kerajaan kelak.
Ia antaranya meliputi pesalah pertama yang tidak melibatkan kesalahan atau hukuman berat, wanita mengandung, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sebelum ini melaksanakan tiga inisiatif iaitu parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.
Tegas beliau, pemerhatian mendapati hanya 15 hingga 17 peratus atau satu daripada 700 bekas pesalah itu kembali melakukan jenayah selepas tiga tahun dibebaskan.
“Justeru, konklusinya adalah pemulihan dalam komuniti dan kita kategorikan prospek yang layak berdasarkan akta tahanan rumah ini kelak sekitar 20,000 orang.
“Ia melibatkan ‘first offender’ (pesalah pertama’ iaitu kesalahan tidak serius seperti ibu tunggal dipenjara kerana mencuri susu akibat dihimpit kemiskinan selain mereka (pesalah) yang sakit, OKU dan warga emas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja di sini, petang ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.
Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.
Jelas Saifuddin, cadangan merangka akta itu dibuat kerana isu kesesakan serius di 43 penjara utama seluruh negara yang menyebabkan keadaan tidak kondusif. – KOSMO! ONLINE