fbpx

Bingkas Kasih ringankan beban pelajar baharu UMT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAMRI (tiga dari kiri) bersama wakil UMT melakukan ziarah Bingkas Kasih ke rumah salah seorang mahasiswa baru-baru ini.

PROGRAM bantuan universiti menjadi pemangkin kepada golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk terus berjaya dalam akademik dan kehidupan.

Ia bukan sahaja membantu penuntut dari segi kewangan, malah memberi keyakinan dan semangat kepada mereka untuk meneruskan pengajian tanpa rasa terpinggir.

Terbaharu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melancarkan satu inisiatif khas dikenali program Bingkas Kasih.

Inisiatif murni berkenaan bertujuan membantu penuntut baharu kategori B40 dalam merealisasikan impian mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim, Bingkas Kasih merupakan satu usaha murni UMT dalam membantu penuntut daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, bantuan kewangan dan barangan asas menerusi Bingkas Kasih dapat meringankan beban mereka (mahasiswa), sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

“Kami di UMT sentiasa komited dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir dan sentiasa menyokong perjalanan mereka untuk menuju kejayaan.

“Ingatlah para penuntut sekalian, pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya ketika sesi ziarah program Bingkas Kasih ke rumah salah seorang mahasiswa UMT baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamri berkata, UMT turut menekankan kepentingan mahasiswa untuk terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kampus bagi mengasah dan mengembangkan potensi diri.

“Inisiatif Bingkas Kasih bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan, tetapi turut memberi sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.

“Sokongan ini hadir melalui pelbagai bantuan seperti biasiswa, Bantuan Dana Siswa dan Bantuan Khas Sara Hidup yang telah lama menjadi amalan di UMT,” ujarnya.

Sementara itu, penerima manfaat program Bingkas Kasih, Hanisah Suryadi melahirkan rasa syukur di atas bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak UMT.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan universiti atas sokongan dan bantuan yang diberikan ini.

“Dengan pemberian ini, ia secara tidak langsung memberi saya semangat untuk meneruskan perjuangan di universiti demi mengubah nasib keluarga,” ujarnya.

Hanisah merupakan penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan.

Ujarnya, memiliki ahli keluarga yang besar dan menetap di ibu negara menyebabkan keluarganya menghadapi cabaran kewangan serius.

“Ditambah pula, kedua-dua ibu bapa saya sudah lanjut usia dan tidak bekerja, selain tiga adik-beradik lain masih bersekolah. Ini memberi tekanan buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI