SUKARELAWAN merupakan salah satu aktiviti yang sinonim dengan institusi pengajian tinggi.
Malah, sepanjang pengajian di universiti, setiap mahasiswa pasti pernah menyertai pelbagai aktiviti sukarelawan.
Siti Asyura Aina Saiful Azhar, 21, merupakan salah seorang mahasiswa yang aktif dengan aktiviti sukarelawan.
Menurutnya, salah satu cara untuk mengisi masa lapang adalah dengan menyertai aktiviti sukarelawan.
“Saya suka bertemu dengan komuniti daripada pelbagai latar belakang dalam setiap aktiviti sukarelawan.
“Melalui aktiviti ini juga, saya mendapat kepuasan kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Makanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Malah, melalui aktiviti sukarelawan, Siti Asyura berpeluang mengunjungi rumah orang tua-tua.
Kunjungan itu memberi pengalaman berharga buat dirinya.
“Saya rasa sedih apabila dapat berbual dengan warga emas di rumah orang tua-tua.
“Mereka meluahkan perasaan rindu kepada anak-anak yang sudah lama tidak datang melawat.
“Kedatangan kami (sukarelawan) memberi kegembiraan kepada mereka.
“Aktiviti ini memberi pengajaran kepada kami supaya sentiasa menyantuni orang-orang tua,” jelas gadis berasal dari Kangar, Perlis itu.
Selain itu, Siti Asyura aktif dengan aktiviti sukarelawan berkaitan alam sekitar dan dia merupakan Naib Presiden Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC).
Untuk makluman, RAS UiTM SC didaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar dan pertubuhan itu menganjurkan pelbagai program kesedaran terutamanya untuk komuniti.
“Kita perlu cakna akan isu berkaitan alam sekitar. Oleh itu, di bawah RAS UiTM SC, kami menganjurkan banyak program yang mendidik komuniti untuk bersama-sama menjaga alam sekitar.
“Antara aktiviti alam sekitar yang kita laksanakan termasuk penanaman pokok bakau, aktiviti membersihkan pantai dan banyak lagi,” ujarnya.
Bagi Siti Asyura, aktiviti sukarelawan banyak mengajarnya tentang kemahiran insaniah yang tidak terdapat di dalam kelas.
Dia dapat belajar cara berkomunikasi, membina jaringan dan menjayakan sesuatu program.
Selain itu, aktiviti sukarelawan banyak mengajar Siti Asyura cara menjadi pemimpin.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tentang kursus pengajiannya, Siti Asyura berkata, dia memang meminati bidang berkaitan pemakanan.
Oleh sebab itu, dia memilih melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi makanan.
“Makanan ini kita makan setiap hari dan ia satu bidang yang luas.
“Melalui bidang ini, saya belajar tentang nutrisi dan teknologi makanan itu sendiri,” terangnya.
Bidang pengajiannya lebih kepada aspek kualiti makanan. Kini, banyak kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis makanan dibuka di negara ini.
Oleh itu, graduan dalam bidang tersebut amat diperlukan dan mereka bertanggungjawab untuk kerja-kerja berkaitan jaminan kualiti (QA) dan kawalan kualiti (QC).
Berbicara tentang matlamatnya dalam bidang pekerjaan, Siti Asyura berhasrat untuk menjadi pensyarah dalam bidang tersebut.
“Selepas tamat pengajian, saya mungkin akan bekerja untuk mencari pengalaman sambil menyambung pengajian di peringkat sarjana secara separuh masa.
“Kemudian, saya akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan saya mengejar impian untuk menjadi pensyarah,” terangnya.
Dalam pada itu, meskipun sibuk dengan aktiviti sukarelawan, namun Siti Asyura amat mementingkan pengajiannya.
“Saya akan aturkan masa bagi mengimbangi kedua-duanya.
“Ia amat penting kerana saya mempunyai impian untuk menamatkan pengajian dengan kelas pertama.
“Saya yakin impian saya untuk menamatkan pengajian dengan kelas pertama boleh tercapai.
“Apa yang penting, saya perlu mendapatkan keputusan yang baik untuk baki tiga semester lagi,” terangnya sebelum menutup bicara.