DITUBUHKAN pada 2003 di United Kingdom (UK), London School of Business and Finance (LSBF) telah berkembang menjadi peneraju dalam pendidikan global.
LSBF juga sentiasa komited untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pada hari ini.
Kini, pelajar di Malaysia boleh melanjutkan pengajian di institusi tersebut setelah Kolej LSBF Malaysia dibuka di negara ini.
Malah, Kolej LSBF Malaysia telah meraikan pembukaan rasmi kampus baharunya baru-baru ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang diadakan di auditorium kolej tersebut di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.
Sebagai tanda komitmen yang signifikan terhadap pendidikan, Kolej LSBF Malaysia juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta dalam bentuk biasiswa penuh kepada pelajar yang layak daripada kategori B40.
Biasiswa itu menunjukkan dedikasi LSBF untuk menyediakan pendidikan berkualiti yang boleh diakses oleh masyarakat kurang bernasib baik.
Biasiswa itu disampaikan kepada Mustapha oleh Pengarah Kolej LSBF Malaysia, Dr. Sajilal Divakaran, bersama Ketua Pegawai Eksekutif LSBF Global, Rathakrishnan Govind.
Mengulas lanjut, Dr. Sajilal Divakaran berkata, pelancaran itu menandakan peristiwa penting dalam pengembangan LSBS serta mengukuhkan visinya menjadi destinasi pilihan pelajar dari seluruh dunia.
Menurutnya, dengan kewujudan kampus sedia ada di UK dan Singapura, LSBF terus menetapkan piawaian baharu dalam pendidikan global.
“Kolej ini menyediakan pelbagai program, menggabungkan pengetahuan teori dengan kepakaran industri untuk menyediakan pelajar dengan kerjaya yang berjaya.
“Kolej LSBF Malaysia mengukuhkan lagi misi ini dengan menawarkan pengalaman pendidikan yang canggih, menampilkan teknologi terkini.
“Antaranya termasuk realiti lanjutan (XR), realiti maya (VR), realiti tertambah (AR), teknologi hologram dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Tambahnya, kemudahan itu membolehkan pelajar melibatkan diri dalam pengalaman pembelajaran langsung merentas pelbagai disiplin seperti penjagaan kesihatan, perniagaan dan teknologi.
Ini secara tidak langsung melengkapkan mereka dengan kemahiran praktikal yang diperlukan untuk cemerlang dalam pasaran kerja.
Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada pengembangan LSBF, program ijazah sarjana muda dari universiti terkenal di UK akan diperkenalkan di Kolej LSBF Malaysia mulai tahun depan.
Ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh kelayakan berprestij UK di Malaysia, seterusnya meningkatkan tahap reputasi kolej untuk kecemerlangan akademik.
Selain itu, pelajar berpeluang mengambil bahagian dalam program pertukaran kampus LSBF di Singapura dan UK, sekali gus memberikan mereka pendedahan antarabangsa yang berharga.
Inisiatif ini akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Bilik Darjah Global yang direka untuk menyediakan pelajar dengan pengalaman pendidikan yang benar-benar antarabangsa.
Sementara itu, Dr. Sajilal menjelaskan, pihak Kolej LSBF Malaysia teruja untuk mengumumkan pengambilan November 2024 dengan 100 peratus biasiswa tersedia kepada pelajar yang layak.
Terangnya, biasiswa itu menawarkan peluang yang tiada tandingan kepada pelajar untuk mengakses pendidikan bertaraf dunia.
“Dengan pembukaan kampus di Malaysia, LSBF meletakkan diri sebagai pemain utama dalam sektor pendidikan negara ini.
“Visi kami adalah untuk mewujudkan Kolej LSBF Malaysia sebagai asas kecemerlangan pendidikan, menyediakan pelajar dengan alat untuk berkembang maju di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya berada di sini bukan sahaja untuk kekal, tetapi untuk berkembang, berinovasi dan memimpin.
“Pendidikan adalah kunci untuk membuka potensi generasi akan datang. LSBF Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin yang akan memacu kemajuan negara,” jelasnya.