SYDNEY – Pemenang lima pingat emas Olimpik, Kaylee McKeown terpaksa mengenepikan hasratnya untuk meneruskan saingan pada siri Piala Dunia Renang di Shanghai, China kerana memberi tumpuan kepada kesihatan mentalnya.
Bintang renang Australia tersebut melakukan kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mempertahankan emas dalam acara 100 meter (m) dan 200m kuak lentang wanita sekali gus dijangka bakal melakukan kejutan di China.
Bagaimanapun, perenang berusia 23 tahun itu membuat keputusan menarik diri selepas bertanding pada hari pertama kejohanan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada World Aquatics atas peluang ini. Bersaing di sini sangat menyeronokkan, namun saya perlu utamakan kesihatan mental saya.
“Sebagai atlet, penting untuk mendengar suara hati dan tahu bila masa untuk berhenti. Ini masa yang sesuai untuk berehat,” katanya menerusi satu kenyataan.
McKeown sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Dunia Renang 2023 dengan memenangi gelaran keseluruhan wanita dan memecahkan beberapa rekod dunia.
Selepas kejayaan di Olimpik Paris, dia segera kembali ke kolam renang dan mencipta rekod dunia dalam acara kuak lentang 100m pada Kejohanan Renang Jarak Pendek di Australia bulan lalu.
Kejayaan itu hadir selepas dia membuat kenyataan boleh menjadi ‘gila’ hanya kekal di rumah sekali gus membuat keputusan untuk menyertai kejohanan tersebut.
Siri Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Korea Selatan minggu hadapan sebelum beralih ke Singapura. – AGENSI