fbpx

EPL: Rekod kebal Arsenal lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALIBA terlebih dahulu dilayangkan kad kuning sebelum pengadil menukar keputusan melayangkan kad merah ketika Arsenal tewas menentang Bournemouth awal pagi semalam. - AFP

BOURNEMOUTH – Kesilapan sendiri menjadi punca utama Arsenal mengalami kekalahan sulung musim ini selepas tewas 0-2 kepada Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality awal pagi semalam.

Kekalahan itu dikatakan berpunca daripada keputusan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, William Saliba pada minit ke-30 selepas dia mengasari penyerang tuan rumah, Evanilson.

Pengurus The Gunners, Mikel Arteta menyuarakan rasa kecewa atas kegagalan membawa pulang tiga mata berharga, lebih-lebih lagi mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain lebih daripada 60 minit.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan seperti ini, ditambah pula sekali lagi terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Bagi saya, ia seolah-olah sedang mengundang malapetaka untuk berlaku.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan pemain atas aksi yang mereka tampilkan tetapi kami melakukan dua kesilapan besar pada perlawanan hari ini (semalam) sehingga menyebabkan kekalahan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Bournemouth terpaksa menunggu sehingga ke minit-70 untuk membuka tirai jaringan menerusi Ryan Christie sebelum Justin Kluivert melengkapkan kemenangan 2-0 hasil daripada sepakan penalti sembilan minit kemudian.

Sementara itu, Arteta juga menggesa pemain-pemainnya supaya mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan yang menyebabkan mereka terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain kerana ia menjadi punca utama kekalahan.

“Apa yang berlaku hari ini (kad merah Saliba) adalah sesuatu di luar jangkaan dan membuatkan kami berada dalam situasi sukar. Kami perlu bermain 11 lawan 11 jika mahu menang perlawanan seperti ini,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI