fbpx

Liga Super: Nafuzi kagum semangat pemain KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KDA berjaya melupakan seketika isu tunggakan gaji ketika mereka meraih kemenangan ke atas TFC kelmarin. - FB KEDAH DARUL AMAN FC

KEJAYAAN meraih tiga mata dengan menundukkan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Darul Aman kelmarin disambut dengan linangan air mata oleh Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain sebaik berakhir perlawanan.

Nafuzi mengakui terharu melihat para pemainnya berjuang memberikan segala yang terdaya, dalam keadaan mereka dihimpit masalah akibat ketiadaan gaji selama tujuh bulan.

Menurut Nafuzi, tiada ungkapan yang mampu dilafazkan bagi menggambarkan rasa terima kasih beliau kepada pemain yang menampilkan sikap sangat profesional dan bersungguh-sungguh dalam menjaga nama bola sepak Kedah.

“Malam ini kita dapat lihat bagaimana pemain memberikan segalanya walaupun masing-masing tahu, situasinya amat sukar ketika ini. Persediaan kita tidak sempurna dalam tempoh dua bulan terakhir ini, tetapi kita tetap meraih tiga mata penuh menentang lawan yang kuat.

“Ini bukan soal mereka menang dengan TFC atau mana-mana pasukan, tetapi ini adalah kisah mengenai semangat juang ditampilkan para pemain itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal tonggak pertahanan dari Brazil, Cleylton Santos pada masa tambahan separuh masa pertama membawa kemenangan buat anak-anak buah Nafuzi.

Nafuzi dalam pada itu berkata, tiada apa yang amat diharapkannya ketika ini melainkan sokongan daripada pelbagai pihak supaya masalah tunggakan gaji itu segera diselesaikan ketika para pemain sudah menunaikan tanggungjawab mereka dengan cemerlang, dalam keadaan cukup sukar.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI