PETALING JAYA – Gara-gara menggelar seorang pengguna Twitter ‘loser’ (orang yang kalah) dan meluahkan pandangan tentang garis panduan filem Malaysia, pelakon dan pengacara Janna Nick dihentam segelintir netizen yang tidak bersetuju dengan pendapatnya.
Perkata tersebut tercetus selepas pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner, 26, itu memuat naik ciapan dengan meluahkan pendapat, bahawa filem di Malaysia memerlukan garis panduan supaya perkara negatif tidak menjadi ikutan masyarakat.
Malah, tulisannya juga turut mengulang siar ciapan seorang pengguna Twitter berkenaan serangan penyokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di bangunan Capitol negara tersebut.
Bahkan, tindakan Janna menyamakan babak filem The Purge dengan serangan berkenaan juga dianggap kurang bijak.
“Tanda pagar #ThePurge yang sohor kini dalam Twitter menunjukkan impak sebuah filem kepada masyrakat umum.
“Sebab perkara inilah mengapa sesetengah garis panduan diperlukan dalam industri filem tanah air seperti yang sudah dilakukan beberapa tahun sebelum ini,” tulisnya dalam Twitter semalam.
Tambah pelakon filem Pasal Kau itu, terdapat peraturan yang ketat tetapi sangat berguna.
“Kadangkala sesetengah garis panduan memang ketat tetapi semuanya bergantung bagaimana industri seni bole menjadikan perkara tersebut kreatif walaupun terikat.
“Semoga Malaysia akan kekal aman,” katanya lagi.
Sementara itu, tindakan pelakon drama Misteri Mona itu juga dikecam selepas menggelar seorang warga maya sebagai ‘loser’.
Bagaimanapun, dia menjelaskan tindakan tersebut dilakukan kerana berpendapat individu berkenaan orang yang kalah kerana memadam ciapan terdahulu.
“Terima kasih kepada semua pihak yang berkongsi pendapat, semoga anda menerima pandangan peribadi saya juga.
“Saya juga tidak mengambil terlalu serius semua komen yang dilemparkan dan harap anda juga lakukan perkara sama,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen menyelar pendapat Janna yang dikatakan menyamakan trend keganasan di negara barat dan garis panduan filem Malaysia.
“Tidak lagi menyokong Janna. Anda boleh untuk tidak bersetuju tetapi menggelar orang lain ‘loser’ sangat tidak sopan,” ciap seorang netizen.
“Adakah Janna tidak memahami maksud garis panduan dan penapisan filem? Dia perlu belajar lebih banyak, jangan terus samakan dua situasi yang jauh kaitannya,” tulis seorang lagi pengguna internet.
Sehingga kini, perdebatan isu berkenaan masih aktif diperkatakan dalam kalangan pengguna Twitter sehingga nama pengacara Melodi itu sohor kini.
Terdahulu, The Purge merupakan sebuah filem mengisahkan rakyat di Amerika pada tahun 2022 bebas melakukan segala jenis jenayah termasuk membunuh, merompak dan merogol dalam satu hari yang diberi nama sebagai Purge Day. – K! ONLINE