PETALING JAYA – Kekasih hati yang juga bakal suami pelakon Sharifah Sakinah iaitu Michael Hansen disahkan positif Covid-19.
Berita mengejutkan itu dimaklumkan Sakinah atau nama lengkapnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired menerusi satu hantaran status dalam Instagram hari ini.
“So much love for this guy. Hope you feel better soon after testing positive for Covid. Stay strong with your healthy food. (Banyak rasa cinta buat lelaki ini. Semoga anda segera pulih selepas disahkan positif Covid. Terus kuat dengan makanan sihat anda),” tulis Sakinah, 31, yang turut berkongsi paparan skrin panggilan video dengan lelaki kulit putih berkenaan.
Difahamkan Michael kini berada di Sweden selepas pulang menyambut perayaan Krismas. Dalam pada itu, Sakinah sempat berkongsikan rakaman teman lelakinya sedang memasak walaupun dijangkiti virus tersebut.
Pun begitu, tinjauan Kosmo! Online mendapati, akaun Instagram kedua-dua individu terbabit berada dalam ‘tetapan peribadi’ secara tiba-tiba.
Terdahulu, Kosmo! Online pada 18 Disember lalu melaporkan, Sakinah mengumumkan akan menamatkan zaman jandanya dengan Michael 25 Mei depan.
Sakinah bagaimanapun berkata, setakat ini dia tidak dapat mengesahkan sama ada majlis perkahwinan mereka akan diadakan di Kuala Lumpur atau di Sweden. – K! ONLINE