fbpx

‘Selesaikan masalah sebelum Kompleks Pasar Raja Bot jadi gajah putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana lengang dan kurang pengunjung di bangunan baru Kompleks Pasar Raja Bot yang diadukan oleh para peniaga pasar itu ketika tinjauan, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID KOSMO!

KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan tempat letak kenderaan dan pemindahan peniaga ke Kompleks Pasar Raja Bot di Jalan Raja Alang perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan ia menjadi pembangunan gajah putih.

Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, proses pembangunan yang mengambil masa lama menyebabkan bilangan peniaga bertambah di sekitar kawasan tersebut.

Justeru itu, katanya, perkara itu menyebabkan kesukaran untuk memperuntukkan lot-lot kedai kepada peniaga-peniaga.

“Jika diikutkan asalnya kita peruntuk dalam 1,200 peniaga, tetapi hari ini sudah tidak boleh.

“Hari ini lebih daripada apa yang kita rancang kerana ramai peniaga disebabkan kelewatan ini, maka kita minta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cari jalan untuk semua peniaga yang ada di Jalan Haji Husseiun, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Alang, termasuk Lorong Raja Bot dan Lorong Haji Husseiun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ahli Parlimen Titiwang, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Kompleks Pasar Raja Bot hari ini.

Rosli berkata, pihaknya mahu memastikan peniaga dapat berpindah ke dalam pasar baharu supaya pelanggan dapat masuk dan membeli barangan di pasar tersebut.

“Kita tak nak pasar baru yang dibina ini menjadi gajah putih seperti di Selayang. Di Selayang kita masukkan semua peniaga, tetapi kita tak dapat kawal peniaga-peniaga yang ada di sekitar kawasan jalan, tepi-tepi jalan ini.

“Jadi, kita tak nak berlaku di kawasan ini dan kita nampak juga di DBKL tidak membuat kawalan sepenuhnya kerana banyak peniaga-peniaga yang buat ‘extension’. Ada meja tapi dia letak lagi barang di depan hingga ke laluan,” katanya.

Justeru itu katanya, pihak berkuasa diharap dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang ada untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu berbangkit secara bersama.

“Masyarakat penjaja di sini lebih dengar kepada pemimpin-pemimpin persatuan daripada pihak berkuasa kerana mereka seperti nampak DBKL ini hanya nak menghukum dan bertindak sahaja.

“Kita tidak. Kita tidak tutup masyarakat peniaga untuk berniaga. Tetapi, kita nak semua masyarakat penjaja ikut undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peniaga ayam segar, Rizman Mohd Zain, 25, berkata, dia mahu semua peniaga pindah ke Kompleks Pasar Raja Bot secara serentak supaya orang ramai dapat pergi ke satu tempat untuk membeli barang keperluan.

“Sebelum ini, saya pernah cuba berinaga di pasar baru selama seminggu lebih, tetapi pelanggan tiada. Berbeza dengan berniaga di luar ini (Pasar Transit), di dalam (Pasar Raja Bot) nak habiskan 10 ekor ayam pun susah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI