fbpx

Penginapan hotel mesti sekurang-kurang 23 jam sehari – MOTAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KING SING.

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara di mana pelanggan mendaftar masuk pada pukul 2 petang dan mendaftar keluar pada tengah hari keesokan harinya atau selewat-lewatnya pada pukul 1 petang.

“Ini merupakan perkara biasa dan tidak menjejaskan kebersihan atau kualiti penginapan. Saya faham jika hotel mahu menjimatkan kos dan dapat meraih keuntungan dengan lebih banyak jika berbuat demikian.

“Namun, perkara ini bukan hanya melibatkan keuntungan pemain industri semata-mata, malah pelanggan juga mahu merasakan wang yang dibelanjakan itu berbaloi dengan perkhidmatan yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Katanya, jika gagal mengikuti tempoh itu, pelanggan akan menerima pengalaman penginapan yang tidak memuaskan dan ini memberi gambaran jelas bahawa pihak hotel hanya mementingkan soal keuntungan dan bukannya kualiti perkhidmatan.

“Pelanggan yang berbelanja semestinya mahu melakukannya dengan senang hati. Jika pelanggan berpuas hati dengan apa yang dibelanjakan, pasti pengusaha akan gembira memperoleh keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula 4 petang dan keluar pada pukul 11 pagi.

Tindakan itu mencetuskan perbincangan netizen yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.

Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.

Lebih malang lagi, ada pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat daftar keluar walaupun lewat kemasukan akibat menunggu ketersediaan bilik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI