fbpx

Bunuh kerat 8: Abah Hayat rayu jangan herdik, beri peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abah Hayat ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang, Kepala Batas, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – “Tolonglah jangan herdik kerana saya sudah menjalani hukuman, saya tidak lari dari penjara sebaliknya dibebaskan. Bantulah saya untuk meneruskan sisa hidup ini dengan menjadi manusia berguna.”

Demikian permintaan bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria, 64, yang dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Oktober lalu setelah meringkuk di sebalik tirai besi selama 23 tahun empat bulan atas kesalahan membunuh kerat lapan.

Kejadian pembunuhan seorang lelaki itu berlaku di Taman Datuk Kumbar, di sini pada 4 Jun 2001.

Khairul Anuar yang lebih dikenali sebagai Abah Hayat berkata, dia bersyukur kerana menerima sokongan padu daripada isteri, anak-anak serta ahli keluarga dan masyarakat, namun mengakui masih ada yang memberi kecaman terhadapnya.

“Perkara itu (pembunuhan) memang berlaku dan pelaku itu adalah saya. Saya sudah menjalani hukuman dan dibebaskan yang mana saya turut diberi keampunan oleh Tuanku Sultan Kedah daripada banduan akhir kepada banduan hayat.

“Saya seterusnya dikenakan hukuman penjara 35 tahun setelah kerajaan memansuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan dibebaskan pada 3 Oktober lepas. Tolonglah jangan herdik dan kata saya patut mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang, Kepala Batas, di sini hari ini.

Katanya, dia mahu meneruskan sisa hidupnya dengan berbakti kepada orang ramai termasuk membantu bekas banduan lain dengan cara memberikan motivasi.

“Berilah ruang kepada saya untuk bimbing anak bangsa dalam saya meniti usia senja ini. Alhamdulillah, masa di penjara ramai banduan yang ucap terima kasih kerana ajar mereka solat, malah mereka peluk saya ketika nak bebas,” ujarnya.

Ceritanya lagi, dia tidak berhasrat untuk menceritakan semula kejadian pembunuhan berkenaan bagi menjaga hati semua pihak termasuk keluarga, namun hanya boleh mengatakan ia berlaku disebabkan maruah.

“Memadailah kalau saya katakan pembunuhan itu berlaku di dalam rumah saya, dalam rumah keluarga saya sendiri dan di dalam bilik tidur saya sendiri.

“Ada yang kata (buat andaian) ia sebab hutang, along tetapi bukan. Hakikatnya ia adalah masalah maruah, jadi tidak perlulah saya bercerita panjang lebar. Apabila Allah dah tutup benda itu, saya tidak perlu buka kembali,” jelasnya.

Sementara itu, dia menyifatkan pemenjaraan selama 23 tahun empat bulan sebagai tempoh paling berfaedah dalam hidupnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI