fbpx

Pahang rintis pelaburan pusat data berskala besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIRUDIN (tiga dari kiri) bersama Mohamad Nizar (lima dari kiri) pada program Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuantan di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang akan merintis pelaburan pusat data berskala besar di negeri ini dalam usaha memperkasakan infrastruktur digital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenal pasti dua lokasi iaitu di Gambang, Kuantan dan Bentong yang dilihat sesuai untuk pelaburan pusat data berskala besar.

“Kami beranggapan mampu menarik sehingga 1,000 megawatt pelaburan ‘data centre’ supaya kita tidak ketinggalan daripada infrastruktur digital.

“Pokok pangkalnya kita tidak mahu bekalan air kepada rakyat negeri Pahang terjejas, juga dari segi bekalan elektrik sebab ‘data centre’ ini guna begitu banyak kuasa tenaga air, elektrik dan gentian optik untuk pastikannya seimbang,” katanya dalam sidang akhbar pada program Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuantan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nizar pada masa ini terdapat pusat data swasta di negeri tetapi ia bukan pusat data yang berskala besar seperti di Johor dan Lembah Klang.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan terus menarik lebih ramai pelabur berskala besar untuk melabur dalam industri yang berpotensi itu.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Amirudin Abdul Shukor berkata, pihaknya akan membantu Pahang dalam pelaburan pusat data berskala besar seperti MDEC telah membantu pembangunan pusat data di Johor dan Sarawak.

Katanya, pihaknya akan berkongsi kepakaran dan menyediakan kemudahan diperlukan dalam merealisasikan pelaburan pusat data bersaiz besar di negara ini.

“Sebenarnya salah satu skop dan mandat kami ialah membawa masuk pelaburan salah satunya adalah ‘data centre’, dan kita bantu sebenarnya misi kita ialah fasilitasi segala jenis pelaburan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI