fbpx

Belanjawan 2025: Mindef tumpu usaha perkukuh kesejahteraan warga pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) memperkemaskan lagi inisiatif seiring dengan fokus belanjawan tahun 2025 dalam memastikan kesejahteraan warga pertahanan di tahap tertinggi menerusi peruntukan RM21.13 bilion yang disediakan kerajaan.

Mindef dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memberi penumpuan bagi merencanakan kesiapsiagaan ketenteraan, mengukuhkan keselamatan persempadanan negara, meningkatkan hubungan pertahanan antarabangsa dan memangkin semangat patriotisme.

Katanya, RM13.64 bilion adalah untuk Peruntukan Mengurus (OE), manakala RM7.49 bilion lagi bagi Peruntukan Pembangunan (DE).

“Peruntukan disalurkan bagi menyelenggara sekolah dalam kem tentera, penambahan pencapaian internet, membina, menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta memperkasa perlindungan sosial melalui Skim Ex-Gratia Bencana Kerja.

“Selain itu, ia digunakan dalam memperkasakan kesejahteraan warga veteran ATM termasuklah Program Baharu Protege-Veteran ATM, pelarasan pencen pesara ATM melalui SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) serta kafar bantuan sara hidup yang dinaikkan kepada RM500 sebulan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mindef menegaskan bahawa pihaknya akan memanfaatkan peruntukan belanjawan tahun 2025 untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

“Membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah. Memperkukuhkan kesiapsiagaan dengan teknologi dron dan AI (kecerdasan buatan) untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

“Mindef juga akan beri fokus dalam memperkukuhkan kerjasama pertahanan antarabangsa dengan membangun industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport,” jelasnya.

Tambah Mindef, Anugerah Perkhidmatan Awam Madani kepada petugas Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang menyumbang tenaga dalam misi di Lubnan dengan pencapaian SMART yang diktiraf sebagai pasukan khas kedua terbaik di Asia Tenggara oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Peruntukan RM50 juta bagi Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu.

“Mindef dan ATM akan berusaha sedaya upaya agar peruntukan Belanjawan 2025 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI