BALIK PULAU – Masalah yang dihadapi pesakit warga tempatan yang terpaksa tinggal bersesak dengan warga asing di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kompleks Sukan Balik Pulau di sini berakhir apabila mereka bakal dipindahkan malam ini.
Masing-masing mereka meluahkan rasa lega selepas diminta bersiap sedia untuk proses perpindahan ke PKRC baharu di Pusat Latihan Zakat (Pulaza), Jalan Pantai Acheh.
Difahamkan, perkhidmatan bas digunakan untuk membawa pesakit-pesakit warga tempatan tersebut.
Seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia amat bersyukur setelah luahan mengenai keadaan yang dialami mereka mendapat perhatian pihak bertanggungjawab terutama kerajaan negeri.
“Kami bersiap sedia pindah ke Pulaza. Lega kerana tekanan yang dialami biarpun hanya tempoh 10 hari akhirnya menemui jalan penyelesaian.
“Kami berharap pihak berkaitan dapat meneliti semula tahap kebersihan di PKRC terbabit yang dilihat kurang memuaskan,” katanya menerusi sistem pesanan ringkat (SMS) di sini malam ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, pesakit warga tempatan merayu supaya proses perpindahan mereka dipercepatkan disebabkan tidak sanggup lagi berdepan dengan kesesakkan selain terpaksa berebut makanan, ruang solat serta bilik mandi dengan ratusan warga asing.
Paling menjengkelkan, keadaan tandas yang tersumbat menyebabkan najis melimpah keluar selain berdepan kekurangan bekalan makanan dan air bersih. – K! ONLINE