fbpx

Sarawak dedah lokasi kes positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amar Douglas Uggah.

KUCHING – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mula mendedahkan senarai lokasi dan masa lawatan kes positif Covid-19 bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, langkah ini diambil bagi menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam membendung penyebaran virus Covid-19.

“JPBNS telah berjanji bahawa Sarawak akan menangani wabak Covid-19 berbeza daripada seluruh negeri di dalam Malaysia dan kita mampu berbuat demikian di bawah Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam Sarawak.

“Kita akan menggunakan Ordinan tersebut untuk melaksanakan pendedahan lokasi, masa dan tarikh lawatan awal kes positif.

“Kita berharap dengan adanya langkah ini, rakyat Sarawak dapat lebih berjaga-jaga serta datang untuk membuat saringan secara sukarela jika pernah melawati kawasan yang sama dengan kes positif.

“Dari sini, kita akan dapat percepatkan proses pengesanan kontak dan membendung penyebaran wabak dengan lebih cepat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya lagi, JPBNS akan terus mengemaskini senarai tersebut dengan mendapatkan maklumat terbaharu daripada pelbagai sumber termasuklah aplikasi mobil seperti MySejahtera dan Qmunity serta sejarah kes.

Walau bagaimanapun, Dr Sim mengingatkan orang awam untuk tidak menimbulkan stigma akan sesuatu kawasan atau premis yang disenaraikan.

Hal ini bagi membantu orang yang berpotensi positif Covid-19 atau premis-premis tertentu untuk tidak takut tampil ke hadapan bagi membantu JPBNS menangani wabak Covid-19 dengan lebih efektif.

Setakat ini, terdapat empat kluster aktif di Sarawak iaitu Kluster Bah Sayap, Kluster Stutong, Kluster Mador serta Kluster Keranji Tabuan.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memberitahu bahawa kerajaan negeri sememangnya sedar perlunya fasiliti kesihatan di dalam negeri untuk dinaik taraf.

Katanya, kerajaan negeri sudah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tahun lepas untuk menaik taraf hospital-hospital di seluruh negeri menjadi hospital rujukan untuk mengendali kes Covid-19.

“Setakat ini, Sarawak hanya mempunyai hospital rujukan Covid-19 di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Jadi kita mahu hospital-hospital yang lain seperti di Limbang, Betong, Serian, Bau, Sri Aman dan Kapit untuk turut dijadikan hospital Covid-19 supaya komuniti setempat tidak perlu merentas daerah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

JPBNS juga telah memohon kerajaan persekutuan untuk meningkatkan kapasiti saringan Covid-19 di dalam negeri dari 2,400 ujian sehari kepada 5,000 ujian sehari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI