fbpx

KBS gembira peningkatan bajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tiga dari kiri) gembira peruntukan untuk merancakkan industri sukan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025.

PERUNTUKAN lebih RM230 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 bagi memantapkan ekosistem sukan nyata disambut baik Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Jumlah yang diumumkan itu menunjukkan peningkatan lebih RM46 juta berbanding peruntukan pada Belanjawan 2024 berjumlah RM184 juta ketika Malaysia dalam persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya gembira dengan peruntukan yang diumumkan meskipun ia masih belum diluluskan lagi kerana perlu dibahas dalam sidang parlimen akan datang.

“Untuk KBS, kita sangat gembira kerana ada peningkatan (peruntukan), namun berapakah peningkatan itu akan diteliti semula memandangkan RM230 juta adalah secara umum untuk pembangunan sukan.

“Ia melibatkan Harimau Malaya, e-Sukan, kriket serta beberapa sukan popular yang akan membantu Malaysia pada Sukan SEA (2025) akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Kajang semalam.

Kelmarin, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta dalam usaha bagi merancakkan lagi pembangunan sukan negara termasuk program po­dium, latihan intensif atlet dan juga program Road to Gold (RTG) ke arah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Sebahagian daripada peruntukan itu turut disasarkan kepada pembangunan sukan para, persediaan menghadapi Deaflympic Tokyo 2025 dan juga meliputi kerja-kerja menyelenggara serta membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara.

Sementara itu, Hannah juga menyatakan rasa gembira kerana RTG masih dikekalkan dan pihaknya akan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum jawatankuasa program tersebut bermesyuarat berhubung perancangan yang akan dibuat.

“Mengenai RTG, kita memang gembira kerana ia dikekalkan dan diumumkan ada bajet. Kita akan meneliti terlebih dahulu berapa kerana jumlah besar sahaja diumum. Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan lihat ‘top 10’ sukan.

“Untuk ‘top 10’ sukan, seperti badminton kita ada (Goh) Sze Fei-Izzuddin (Rumsani) yang sudah berada dalam kelompok 10 teratas, ini bermaksud mereka layak masuk (RTG), tetapi ini perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI