PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa dia dilarang untuk mengikuti sesi temu duga di sebuah kedai kosmetik popular di ibu negara gara-gara gambar profil pada borang maklumat diri diambil menggunakan ‘filter’ (suntingan).
Menerusi luahan wanita itu di aplikasi X, dia berkata, pada awalnya pihak pengurusan kedai terbabit menghubunginya bagi menghadiri sesi temu duga sebagai pembantu jualan.
“Dah hantar resume (dokumen ringkas maklumat peribadi) menerusi emel bila tengok ada iklan jawatan kosong di media sosial. Lepas seminggu pihak pengurusan hubungi untuk atur sesi temu duga.
“Bila sampai, katanya muka saya tak sama macam dalam resume. Mereka minta pulang dan dilarang untuk hadir temu duga. Saya mengaku guna ‘filter’ semasa muat naik gambar profil. Tak sangka sebab itu jadi punca saya gagal temu duga,” luahnya.
Wanita itu turut mempersoalkan adakah kecantikan wajah menjadi satu kriteria utama dalam pemilihan pekerja.
“Memang kena yang cantik sahaja untuk kerja? Laku sangat kah sesebuah kedai jika pekerjanya semua cantik?,” soal wanita itu.
Bagaimanapun, meninjau ke ruangan komen, ramai yang mengecam wanita tersebut selain mempertikaikan persoalannya berhubung isu kecantikan.
“Kau pun guna ‘filter’ nak nampak cantik dalam gambar. Terkejut la majikan pun bila dalam gambar putih gebu, yang datang hitam kelabu,” kata Zack.
“Kalau kedai kosmetik, alat solek, kebanyakan memang pentingkan kecantikan serta kekemasan pekerja.
“Lain la awak mohon kerja kedai ayam, belakang tabir, wajah lawa akan jadi bonus, tetapi kalau jawatan atau tugasan awak untuk ‘pancing’ pelanggan, awak kena ada pakej sesuai, sama macam model,” terang Azuni. – KOSMO! ONLINE