fbpx

KPDN rampas 2.3 tan minyak masak peket, 936 kg gula pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Minyak masak dan gula yang dirampas daripada sebuah premis perniagaan di Kuching, kerana disyaki memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.

KUCHING – Sebanyak 2,340 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi polibeg 1 kg dan 936 kg gula pasir kasar 1 kg yang dianggarkan bernilai RM8,517.60 dirampas daripada sebuah premis perniagaan di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, rampasan dibuat menerusi pemeriksaan ke atas premis terbabit di Jalan Setia Raja, semalam susulan aduan daripada orang awam.

“Seksyen Penguat Kuasa KPDN Sarawak telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas 374kg minyak masak peket bersubsidi polibeg 1kg dari sebuah premis perniagaan di Sibu kerana didapati mengenakan pembelian bersyarat ke atas minyak masak itu.

Katanya rampasan dilakukan oleh sepasukan Pegawai Penguat Kuasa, KPDN Cawangan Sibu yang menjalankan pemeriksaan Ops Samar terhadap beberapa premis di sekitar daerah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, satu tindakan kes telah dihasilkan ke atas sebuah premis perniagaan yang didapati mengenakan pembelian bersyarat barang kawalan iaitu minyak masak peket bersubsidi yang disimpan di dalam stor premis tersebut.

“Peniaga terbabit disyaki melakukan kesalahan mengenakan syarat pembelian ke atas barang kawalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI