fbpx

Pendidikan terus diberi keutamaan bina negara mampan, berdaya saing – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Aspek pendidikan terus diberi keutamaan pada Belanjawan 2025 demi memastikan hasrat membina Malaysia Madani yang mampan dan berdaya saing tercapai.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, sejumlah RM64.1 bilion diperuntukkan kepada KPM pada Belanjawan 2025 menjadikannya sebagai penerima peruntukan terbesar pada kali ini.

“Sebanyak RM2 bilion disediakan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah.

“Manakala, RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya hari ini.

Jelasnya, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan seperti kantin dan musolla selain RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru.

Bagi memastikan akses pendidikan terus ditingkatkan KPM berkata, kerajaan telah meluluskan pembinaan sebanyak 44 sekolah baharu dengan reformasi pendidikan awal kanak-kanak dengan 34 prasekolah baharu akan dibina.

“Kerajaan meneruskan pemberian 17 jenis bantuan pendidikan dengan peruntukan RM5.3 bilion.

“Ini termasuk RM2 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama (BMA) dan RM870 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bakal memanfaat lebih 860 ribu murid,” ujarnya.

Selain itu jelasnya, sebanyak RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) disediakan kepada semua 5.2 juta murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

“Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) juga ditingkatkan kepada RM180 juta berbanding RM150 juta sebelum ini,” katanya.

Bagi meningkatkan kualiti pendidikan dizahirkan menerusi inisiatif untuk menaikkan elaun sara hidup siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada RM530 sebulan.

Kata KPM, kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua pelajar kolej matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

Manakala, bagi mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan, sebanyak RM50 juta disediakan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa serta kesusasteraan kepada generasi muda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI