fbpx

Belanjawan 2025: Bajet KPT penuhi keperluan industri masa hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan komited untuk meningkatkan mutu pendidikan tinggi dan mendorong penyelidikan dalam kecerdasan buatan (AI) melalui pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2025 bagi melahirkan modal insan berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Melalui inisiatif berkenaan juga, kerajaan mahu memperkasa Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan peruntukan kementerian meningkat sebanyak 10.76 peratus kepada RM18.1 bilion berbanding tahun lalu.

“Peka dalam memudahkan akses ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 bilion untuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan, dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diseru memberikan komitmen memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah.

“Melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan akan menyediakan pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus kepada pelajar STEM di IPT awam ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi sesuai dengan tuntutan industri,” katanya.

Menurutnya, bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi, kerajaan bercadang untuk meneruskan insentif pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Tambahnya, kriteria pemberian geran padanan di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun akan diperluas.

“Tambahan kepada itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan melaksanakan Program Celik Madani iaitu pembukaan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM50 secara percuma kepada 100,000 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi mulai tahun hadapan.

“Prihatin dalam menjaga kesejahteraan serta menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif kepada mahasiswa, kerajaan turut memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM635 juta bagi kerja-kerja menambah baik prasarana, penggantian peralatan usang dan peluasan capaian internet di semua universiti awam (UA),” jelasnya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diberi peruntukan RM120 juta bagi menambah baik capaian Internet di universiti awam selain sekolah, kem-kem tentera dan institusi Mara.

Bukan itu sahaja, sebagai usaha melahirkan lebih ramai jurutera dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (E&E) Universiti Teknologi Mara turut menerima peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membantu menjayakan hasrat tersebut.

Bagi bidang AI pula, katanya, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi memperluaskan pendidikan AI di semua universiti penyelidikan dengan fokus kepada bidang perubatan (Universiti Malaya), keselamatan siber dan kriptologi (Universiti Putra Malaysia), semikonduktor (Universiti Sains Malaysia) dan aktiviti penterjemahan dalam memperkasakan Bahasa Melayu (Universiti Kebangsaan Malaysia) termasuk Fakulti AI sedia ada di Universiti Teknologi Malaysia.

Malah, dana aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bawah KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut dinaikkan kepada RM600 juta sebagai mendorong kepada kemajuan teknologi dan daya cipta tempatan.

“Dalam sektor TVET, peruntukan turut dinaikkan kepada RM7.5 bilion berbanding tahun lalu dengan keutamaan kepada pemeteraian kerjasama industri dan menyediakan peluang latihan kepada golongan rentan.

“Insentif potongan cukai turut diperkenalkan untuk syarikat yang memberi sumbangan berupa peralatan dan mesin baharu kepada Politeknik, Kolej Vokasional, dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi tahun taksiran 2025-2027,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI