fbpx

Belanjawan 2025: Gaji minimum RM1,700 jejaskan PKS, kehilangan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) didakwa akan terjejas teruk susulan peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan seperti diumumkan pada Belanjawan 2025.

Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, PKS di Sabah dan Sarawak khususnya berdepan kesukaran melaksanakan gaji minimum tersebut, malah dijangka turut mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar.

“Ini akan sangat merugikan B40 apabila kebanyakan mereka bergantung kepada kerja separa mahir, sekali gus menjadi antara pekerjaan pertama yang terjejas.

“Kami menggesa kerajaan memperhalusi gaji minimum untuk membolehkan negeri-negeri ‘kurang pembangunan’ mengekalkan gaji minimum semasa atau menghapuskan gaji minimum sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, di bahagian pusat bandar seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, kadar gaji itu jauh lebih tinggi daripada RM1,700 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Selain kehilangan pekerjaan, kita akan melihat pemampatan gaji selanjutnya dalam kalangan M40, dengan pekerja asing menjadi penerima terbesar gaji minimum yang disemak semula,” katanya.

Katanya, Samenta bersetuju gaji di Malaysia terlalu rendah dan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menaikkan kadar pendapatan tersebut.

“Namun, gaji minimum itu datang ketika masa margin termampat kepada PKS dan ia juga akan menggangu operasi PKS,” ujarnya.

William menegaskan, pihaknya juga menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pengecualian cukai dividen dua peratus ke atas pemilik PKS kerana disifatkan merugikan pengusaha perniagaan tersebut.

“Mengenakan cukai atas dividen daripada pendapatan yang telah dikenakan cukai bukan sahaja satu bentuk cukai berganda, tetapi menghalang PKS daripada mengembangkan perniagaan atau memperoleh keuntungan lebih tinggi,” ujarnya.

Bagaimanapun Samenta memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila sekali lagi menurunkan defisit belanjawan dan memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan pembaziran termasuk penggabungan agensi berlebihan, serta melanjutkan pembiayaan bersubsidi dan jaminan kredit untuk PKS.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI