PETALING JAYA – Selesa dengan bentuk hidung baharunya, pelakon Zarina Anjoulie mengakui berpuas hati dan tidak menyesali tindakan menjalani pembedahan rekonstruktif memancungkan hidungnya pada bulan lalu.
Zarina atau Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 37, yang baru sebulan menjalani pembedahan hidung kini gembira melihat penampilan dirinya, lebih-lebih lagi jika melihat rakaman pada sudut sisi.
“Bila tengok semula gambar-gambar lama, saya tak menyesal buat hidung terutama bila lakukan penggambaran.
“Sudut sisi saya nampak lebih menarik, saya memang bertujuan mahu mancungkan dan nampak lebih tajam pada hidung.
“Kesimpulannya, saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya yang sekarang,” katanya dalam Instagram.
Meskipun menerima pelbagai kecaman, pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu enggan peduli kritikan ramai.
“Saya tidak kisah apa orang lain mahu katakan, tetapi saya sangat menyukainya.
“Orang cakap hidung saya terlalu menonjol (mancung) tetapi itulah perubahan daripada pembedahan plastik tersebut untuk nampak lain daripada sebelum ini.
“Kalau nak nampak sama, buat apa tujuannya lakukan pembedahan plastik,” jelasnya.
Sebelum ini, Zarina mengakui bersetuju melakukan prosedur tersebut di sebuah klinik di Vietnam setelah diberi imbuhan selayaknya.
Dia kemudian ada merancang mahu membuang implan pada bahagian hidungnya pada hujung tahun ini kerana berasakan hidung baharu tidak serasi dengan dirinya. – KOSMO! ONLINE