fbpx

Harimau disyaki baham dua lelaki berjaya ditangkap di Jeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU belang dipercayai membaham dua lelaki di Gerik dan Jeli berjaya ditangkap Perhilitan.

IPOH – Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang seorang lelaki di Gerik dan warga Myanmar di Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tangkapan haiwan pemangsa itu disahkan oleh Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, maklumat lanjut berkaitan tangkapan itu akan diberikan oleh Pengarah Perhilitan Kelantan dalam masa terdekat.

“Ya, dapat (masuk perangkap) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah Perhilitan Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Yusoff berkata, Perhilitan Perak dan Kelantan bekerjasama bagi memasang perangkap di lokasi di kenal pasti bagi menangkap harimau yang disyaki membaham mangsa.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang kedua-dua mangsa adalah haiwan sama berikutan lokasi dua kejadian itu terletak berhampiran kira-kira empat kilometer (KM) melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang berlaku dalam tempoh terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli kelmarin.

Mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah di leher dan kaki kiri.

Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila dia ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dengan paha kiri terputus selepas dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang sebuah rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI