ALOR SETAR – Firasat seorang wanita sesuatu yang buruk menimpa adiknya menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemukan lemas di sungai berdekatan Kampung Padang Terus di sini semalam setelah lima hari dilaporkan hilang.
Hayati Che Mat, 49, berkata, adiknya, Mohd. Faiz, 33, yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) kategori pembelajaran ditemukan di sungai itu kira-kira pukul 5.30 petang oleh penduduk kampung yang lalu lalang di kawasan tersebut.
Menurutnya, dia yang menetap di Sungai Buluh, Selangor mimpi adik bongsu daripada lapan adik beradik itu yang datang dalam keadaan tersenyum.
“Waktu itu saya terlelap dan bermimpikan arwah. Arwah cakap, ‘Kak, adik nak balik’, sambil tersenyum sebelum hilang. Saya terjaga ketika azan asar.
“Hati saya berdebar-debar tetapi agak lega kerana merasakan adik akan ditemui hari ini (semalam). Pukul 6 petang, adik saya, Nurul Hazami telefon beritahu Mohd. Faiz sudah ditemui tetapi tidak bernyawa lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Bercerita lanjut, kata Hayati, arwah dikatakan keluar rumah mereka di Kampung Pulau Binjal, Tajar di sini dengan menunggang basikal pada pukul 5 petang, Ahad lepas.
“Arwah memang suka naik basikal ronda kampung tetapi dia tak akan pergi jauh. Paling jauh kampung sebelah sahaja. Kawasan arwah ditemukan itu pun mereka sudah cari tapi tak jumpa apa-apa.
“Apa pun kami sekeluarga reda. Sekurang-kurangnya arwah ditemui walaupun sedih sangat sebab dia seorang anak yang baik dan paling rapat dengan saya. Selama 33 tahun ini, dia tidak pernah menyusahkan kami sekeluarga apa pun walaupun keadaannya OKU. Ayah kami pengsan bila dapat tahu berita ini,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di tebing sebatang sungai dekat sini, setelah lima hari dia dilaporkan hilang. – KOSMO! ONLINE