MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menafikan bahawa pasukannya berdepan masalah kekuatan mental setiap kali mereka mara ke pentas separuh akhir mana-mana kejohanan.
United tewas dalam tiga aksi separuh akhir musim lalu dan kali ini mereka terpaksa akur apabila sekali lagi terkandas pada pentas sama untuk aksi Piala Liga Inggeris selepas tewas 0-2 kepada Manchester City awal pagi semalam.
“Bukan, ia bukan kerana masalah psikologi. Kami bertemu sebuah pasukan yang baik pada separuh akhir dan kami tidak cukup bagus untuk memenangi perlawanan itu.
“Mereka adalah pasukan yang terbaik di England. Kami gagal memberikan aksi terbaik untuk menentang mereka dan memenangi perlawanan itu,” katanya.
Musim lalu, City turut berjaya menewaskan United 3-1 pada saingan yang sama.
Namun, United kini berada pada prestasi terbaik untuk mencabar kejuaraan liga apabila berkongsi mata dengan pasukan di kedudukan teratas, Liverpool, namun mempunyai kelebihan dari segi jumlah perlawanan.
Bagaimanapun, Solskjaer yang mengemudi United sudah lebih dua tahun percaya aksi yang dipamerkan ketika mereka tewas kepada City menunjukkan The Red Devils sedang berada pada landasan yang betul.
“Sudah tentu kami menentang sebuah pasukan yang baik. Mereka bermain dengan cemerlang, jadi kami perlu bermain lebih baik untuk menewaskan mereka. Para pemain sedar di mana kekurangan yang mereka perlu perbaiki.
“Saya fikir apabila kami tewas pada separuh akhir dan kalah kepada pasukan seperti City, saya fikir kami sudah semakin hampir. Secara keseluruhan, kami lebih baik berbanding ksetika tewas musim lalu,” jelasnya. – AGENSI