fbpx

Belanjawan 2025: 11 Pusat Permata baharu untuk anak autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk Pusat Permata di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos sebanyak RM300 juta.

“Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen hari ini.

Menurut Anwar, elaun murid berkeperluan khas sebanyak RM150 sebulan terus disalurkan kepada lebih 110,000 murid orang kelainan upaya (OKU).

“Ia termasuk murid autistik melibatkan peruntukan RM200 juta. Bantuan yuran pembelajaran anak autisme disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak.

“Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terangkum, sebanyak RM10 juta disediakan bagi membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

“Sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta,” jelasnya.

Tambah beliau, had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autistik akan ditingkatkan kepada RM6,000 berbanding RM4,000 tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI