PUTRAJAYA – Angka jangkitan baharu Covid-19 berisiko mencecah hingga 8,000 kes sehari menjelang minggu ketiga Mac depan sekiranya nilai kebolehjangkitan, R naught (RO) berada pada kadar 1.2.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan model SEIR (Suspeptible-Exposed-Infectious-Removed) yang diunjurkan dari 4 Januari sehingga 31 Mei depan mengikut R0 semasa 1.1 atau 1.2.
“Berdasarkan graf Kementerian Kesihatan (KKM), jika R0 berada pada kadar 1.2, kes harian akan mencecah 3,000 kes pada minggu keempat Januari.
“Jika R0 pada kadar 1.1, peningkatan kes harian akan lebih perlahan dengan kes masih 3,000 setiap hari sehingga minggu kedua bulan Februari depan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter rasminya hari ini.
Noor Hisham berkata, KKM turut menjangkakan jangkitan baharu Covid-19 akan melonjak dengan cepat iaitu kepada 5,000 kes harian pada minggu ketiga Februari sekiranya R0 berada pada kadar 1.2.
Beliau berkata, kes Covid-19 di negara ini akan bertambah buruk pada bulan Mac depan jika R0 di tahap 1.2 dengan kes harian boleh mencecah 8,000 setiap hari.
Bagaimanapun, jika R0 dicatatkan pada kadar 1.1, risiko kes Covid-19 mencecah 8,000 kes dapat diperlahankan sehingga Mei depan. – K! ONLINE