fbpx

Belanjawan 2025: Lebih RM230 juta perkasa program sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024. - AFP

PETALING JAYA – Kerajaan akan terus memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan sukan tanah air apabila mengumumkan peruntukan lebih RM230 juta buat warga sukan pada pembenta­ngan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Parlimen sebentar tadi.

Berita gembira tersebut di­umumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memantapkan ekosistem sukan negara, termasuk program po­dium, latihan intensif atlet dan juga Road to Gold (RTG) ter­utama persiapan menjelang Sukan ­Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris. Ini termasuk pencapaian Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang merangkul pingat emas. Pembangunan sukan negara terus diper­hebat dengan peruntukan lebih RM230 juta” katanya.

Sebahagian daripada peruntukan tersebut turut disasarkan kepada pembangunan sukan para, persediaan menghadapi Deaflympic Tokyo 2025 dan juga meliputi kerja-kerja menyelenggara serta membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara.

Selain itu, geran padanan sukan bagi menggalakkan penganjuran pertandingan sukan oleh ­persatuan dan NGO.

BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei (kiri) dan Nur Izzuddin Rumsani turut menerima pujian daripada Anwar kerana mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan antarabangsa. – AFP

“Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita, Pearly (Tan) dan Thinaah serta beregu lelaki (Goh) Sze Fei dan Izzuddin (Rumsani) yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan,” tambahnya lagi.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi menambah baik dan memperkukuhkan ekosistem atlet bagi Program Podium terma­suk RM20 juta pelaksanaan Road to Gold (RTG) serta RM12 juta diperuntukkan untuk atlet para.

RM30 juta juga diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama bakat tempatan bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-Sukan.

Selain itu, sejumlah RM50 juta turut disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya prasarana yang daif selain dana geran padanan sebanyak RM50 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI