PETALING JAYA – Kerajaan bercadang memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100 ribu ringgit yang diterima oleh pemegang saham individu bermula 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji.
“Namun, ia turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.
Tambah Anwar, pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan.
“Ini meliputi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE