PETALING JAYA – Gelagat seorang ayah meminta maaf dalam cubaan memujuk anak lelakinya kerana terlewat mengambil pulang dari sekolah telah meraih pujian daripada pengguna media sosial.
Menerusi sebuah perkongsian oleh Zaine Hashim di TikTok, dia yang sedang menunggang motosikal kelihatan mengekori rapat anaknya yang membuat keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumah akibat menunggu lama di sekolah.
Sambil mengekori di belakang, lelaki itu meminta maaf kerana terlambat mengambil anaknya pulang dari sekolah sehingga menyebabkan anaknya merajuk.
“Adik, ayah minta maaf lah. Ayah lambat sikit ambil. Tadi ayah tolak motor dengan abang sebab minyak motor habis. Ayah bukan tak mahu ambil kamu. Biasanya ayah cepat tapi hari ini motor rosak,” rayunya.
Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah sekalipun terlewat mengambil kanak-kanak itu pulang dari sekolah dalam cubaan menenangkan kanak-kanak tersebut.
Lelaki itu kelihatan meminta maaf berkali-kali sambil mengulang semula punca kelewatan.
Beberapa saat kemudian, kanak-kanak itu berjaya dipujuk apabila ayahnya menawarkan untuk membawa di ke sebuah kedai runcit kegemarannya dan dia terlihat senyum lebar dan menaiki motosikal.
Aksi dua beranak ini telah mengundang pujian daripada pengguna media sosial yang rata-rata teruja dengan sikap lelaki itu yang sanggup meminta maaf kepada anaknya.
“Untung kau dik dapat ayah macam ini. Kalau ayah akak, tiada gurau senda untuk dijadikan kenangan sebab ayah akak terlampau garang. Bila ayah balik kerja, kami dengar je bunyi motor terus berdesup lari masuk bilik,” komen Rosnah Harun.
“Baiknya pak cik ni siap terangkan lagi kenapa lambat dan siap minta maaf. Kalau bapa aku, lama dah dia masukkan aku dalam kubur sebelah tu,” kata Slythrin.
“Penyabar betul ayah kau, dik. Kalau ayah acik dulu, dia cuma tanya ‘kau nak naik ke tak?’. Kalau buat merajuk macam kamu, kena tinggal terus,” ujar Salwana. – KOSMO! ONLINE
@zainehashim82 cakap g kedai aunti laju je ye#tiktokmalaysia🇲🇾 #foryoupage❤️❤️ #fypシ゚viral #fyp ♬ bunyi asal – 🇲🇾Along82🇲🇾