PERSIAPAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk berdepan Terengganu FC di laman sendiri malam esok boleh dianggap pincang berikutan beberapa kekangan dihadapi termasuk isu tunggakan gaji.
Menurut sumber dalaman pasukan, semangat dan motivasi pemain ketika ini belum berada pada tahap terbaik ketika masing-masing berdepan masalah tersendiri.
Malah, kehadiran penuh untuk pemain pada sesi latihan juga hanya dapat dicapai minggu ini setelah beberapa pemain menyelesaikan komitmen masing-masing.
“Selepas aksi bertemu Sri Pahang FC pada 20 September lalu, pasukan ini hanya kembali berlatih dua minggu selepas itu iaitu pada 5 Oktober.
“Sejak itu, kehadiran pemain untuk menjalani latihan pun tidak penuh dan hanya pada minggu ini saja, ketua jurulatih, Nafuzi Zain dapat melihat semua pemain turun ke padang latihan.
“Boleh dikatakan kelebihan ketika ini memang memihak kepada Terengganu FC. Disebabkan itu, kami memang mengharapkan supaya penyokong dapat hadir ke Stadium Darul Aman beramai-ramai dalam perlawanan itu bagi memberi sokongan kepada pemain.
“Kehadiran penonton beramai-ramai itu sebenarnya penting dalam menyemarakkan semangat pemain. Selain sorakan semangat, para pemain juga akan sedar bahawa kantung KDA FC dapat sedikit terisi dengan kehadiran ramai penonton sekali gus memberi harapan untuk mereka memperoleh ‘sesuatu” katanya.