PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sepuluh negeri hingga petang ini.
MetMalaysia memaklumkan negeri-negeri utara semenanjung yang terlibat adalah Kedah (Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Hulu Perak) dan Pulau Pinang.
“Bagi sebelah pantai timur pula, keadaan yang sama berlaku di Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu) dan Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin),” katanya.
Sementara itu, cuaca buruk turut berlaku di Selangor di kawasan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat dan Johor di Segamat, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Tambahnya, hujan lebat dan angin kencang turut menjejaskan Sabah di kawasan Tawau (Tawau dan Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan).
“Kapit (Song dan Kapit) di Sarawak turut tidak terkecuali,” katanya.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam (mm/jam)yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE