PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus komited membantu pelajar yang memerlukan melalui inisiatif Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.
Program yang dilancarkan sejak 2022, bertujuan meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini, PTPTN telah menyampaikan bantuan kepada 132 pelajar UMK yang merupakan peminjam PTPTN dari golongan kurang berkemampuan.
“Kami memperuntukkan sebanyak RM66,000 kepada 132 orang pelajar di UMK yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan.
“Setiap pelajar yang layak menerima bantuan berjumlah RM500 secara ‘one off’ dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim. Turut hadir ialah Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak, serta beberapa pegawai kanan PTPTN dan wakil dari UMK.
Menurut Norliza, program ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih lancar tanpa perlu risau akan masalah kewangan.
“Saya berharap bantuan ini akan memberi sinar kepada para pelajar untuk terus mencipta kejayaan hebat dalam akademik dan sahsiah, menjadi pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang serta menjadi kebanggaan ibu dan ayah.
“Ini sekali gus akan membantu para pelajar untuk mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga setelah tamat pengajian bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa,” ujarnya.
Sebelum ini, PTPTN turut menyalurkan bantuan yang sama kepada 85 pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dengan jumlah keseluruhan RM42,500.
PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 berjaya memainkan peranan penting dalam menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT tempatan bagi melahirkan modal insan yang berpendidikan dan berdaya saing dalam pembangunan negara. – KOSMO! ONLINE