KUALA LUMPUR- SME Bank FundFest 2024 bakal menjadi platform kepada usahawan baharu, syarikat pemula berinovatif dan juga perniagaan yang sedang berkembang untuk mendapatkan peluang pembiayaan dan sesi perkongsian ilmu tentang bisnes.
Program sulung anjuran SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) yang berlangsung selama dua hari di sebuah pusat beli-belah di sini bakal menarik minat 100,000 penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk juga perusahaan baharu, modal teroka, agensi kerajaan dan pemimpin industri.
Pemangku Presiden Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, program itu adalah bukti usaha institusi itu membantu menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh usahawan dan perniagaan tempatan.
“Acara ini dijangka menjadi platform untuk usahawan berhubung dengan bakal pembiaya, mendapatkan nasihat pakar dan meneroka peluang baharu untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program tersebut yang turut dihadiri dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, di sini semalam.
Mohammad Hardee berkata, dengan kerjasama lebih 20 rakan strategik SME Bank, acara tersebut akan menampilkan pakar industri merangkumi peer-to-peer (P2P), modal teroka dan usahawan terkemuka tempatan.
Selain itu, terdapat juga usahawan daripada pelbagai peringkat perniagaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka dalam program tersebut. -KOSMO! ONLINE